Dua bot ekspres musnah terbakar dalam satu insiden di Terminal Penumpang Sibu, di Jalan Khoo Peng Long, di sini, pagi ini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.40 pagi.

Sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu kemudiannya diatur gerak ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, kedua-dua bot telah terbakar dan tali pengikat kedua-duanya telah dilepaskan.

Bot pertama, jelasnya, musnah 100 peratus manakala bot kedua musnah 10 peratus, iaitu pada bahagian enjin.

Akibat kejadian itu, salah satu bot musnah seratus peratus sementara satu lagi mengalami kemusnahan 10 peratus. Foto Ihsan JBPM Sarawak

Ketika pasukan itu tiba, tambah Tiong, kedua-dua bot telah ditunda ke kawasan selamat bagi mengelakkan api merebak ke bot-bot lain yang turut ditambat di situ.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, malah pasukan terlibat hanya bersedia di tepi terminal untuk mengelakkan sebarang kemungkinan buruk.

Punca kebakaran dan taksir kerugian, katanya, masih dalam siasatan.