Dua pelajar yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam satu kemalangan di kampung Simpang Cabang Tinggi Sabak, Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, mangsa dikatakan terlanggar seekor lembu yang melintas jalan sebelum kedua-duanya terjatuh di tengah jalan.

"Kedua-dua mangsa menunggang sebuah motosikal. Setibanya di kawasan berkenaan, mereka terlanggar lembu sebelum jatuh memasuki jalan bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah kereta jenis Toyota Vios dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa di tengah jalan.

"Pemeriksaan awal juga mendapati kedua-dua pelajar berkenaan tidak memiliki lesen memandu," kata Abdul Rahim.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Aideed Mohd Roslan, 17, pelajar sekolah Menengah Panchor Perdana dan Mohd Emdi Syazwan Md Norrizan, 17, pelajar Kolej Vokasional Bachok.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta, Mohd Sudin Musa, 61, seorang pesara bagaimana pun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam tadi untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.