Dua pekerja cedera parah selepas pemampat gas alat pendingin hawa dalam sebuah bot ekspres yang sedang dalam penyelenggaraan meletup di Limbungan Shin Matu, Jalan Buangsiol, di sini pada Jumaat malam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa, Wong Ching Sieng, 61, patah kaki kanan serta melecur manakala Saifudin Serap, 33, melecur di muka dan bahagian badan.

Kedua-dua pekerja pelenggaraan itu dipercayai sedang membaiki alat penghawa dingin tersebut ketika kejadian berlaku.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Limbang untuk mendapat rawatan.

Kenyataan itu menyebut, Balai Bomba dan Penyelamat Limbang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 malam dan tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian sebelum melakukan operasi mengeluarkan mangsa daripada bot berkenaan.

-- BERNAMA