Dua lelaki cedera selepas sebutir bom buatan sendiri untuk menangkap ikan meletup dalam kejadian di Kampung Sungai Seting, Lubok Bongor di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Mohd Yusoff Jaafar berkata mangsa pertama berusia 34 tahun putus pergelangan tangan kiri serta hancur tangan kanan dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari.

Mangsa dihantar ke Hospital Jeli sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan kini keadaan mangsa kritikal namun stabil, katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Mohd Yusoff berkata mangsa kedua yang berusia 22 tahun cedera di bahagian jari tangan kanan dan luka di beberapa bahagian badan, kini dirawat di Hospital Tanah Merah dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata kejadian itu berlaku di hadapan sebuah rumah ketika mangsa pertama sedang memegang bom itu untuk dimampatkan namun ia meletup secara tiba-tiba.

Mereka dipercayai hendak menggunakan bom berkenaan bagi menangkap ikan di sungai kampung berkenaan.

-- BERNAMA