Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini secara berasingan atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan sejak 2014 dengan menyertai kumpulan Daish di Syria.

Pertuduhan terhadap kedua-dua mereka dibacakan di hadapan Hakim Saiful Akmal Md Said dan Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Naim Zaid dan Azmer Ramlan dengan niat dari Malaysia telah pergi ke Syria melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melakukan perbuatan pengganas pada Julai 2014 dan Mac 2015.

Kesalahan dilakukan dibawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan pada prosiding hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui meminta tarikh baru untuk sebutan semula kes bagi mengemukakan dokumen imigresen dan syarikat penerbangan.

10 Januari tahun depan kemudiannya ditetapkan untuk sebutan semula kes membabitkan Azmer.

Manakala bagi kes membabitkan Ahmad Naim ditetapkan 20 Januari tahun depan.

Kedua-dua tertuduh ditangkap sejurus tiba di KLIA Sepang, Selangor selepas diusir dari Syria pada 22 November lalu oleh Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.