Dua ibu tunggal ditahan selepas akaun bank masing-masing dikesan digunakan sindiket Macau Scam untuk pemindahan wang daripada mangsa, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid.

Beliau berkata wanita berusia 49 tahun yang bekerja sebagai pembuat kraftangan ditahan di Sandakan, Sabah dua hari lepas manakala seorang lagi yang berumur 40 tahun bekerja sebagai kerani syarikat swasta ditangkap di Sentul, Kuala Lumpur pada Sabtu.

"Pihak polis menerima laporan daripada beberapa mangsa mendakwa mereka ditipu sindiket Macau Scam dan berdasarkan siasatan, kami mendapati mangsa diarahkan memasukkan wang ke akaun milik dua wanita tersebut," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan, dua wanita itu yang tidak mengenali antara satu sama lain mengaku akaun bank masing-masing digunakan oleh rakan lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook dan mendakwa tidak tahu ia digunakan oleh sindiket Macau Scam.

Nik Ros Azhan berkata siasatan mendapati akaun bank dua wanita itu terlibat dalam dua kes di daerah SPT membabitkan kerugian RM20,000 dan beberapa kes di negeri lain.

Sementara itu, beliau berkata semalam polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang dikehendaki polis sejak tahun lepas bersabit kes pengedaran dadah, di Kulim, Kedah dan direman tujuh hari untuk siasatan.

-- BERNAMA