Dua individu yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pembantu Tadbir di Jabatan Insolvensi yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM1,000 dan RM2,000 di reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 April ini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Khairul Nizam Bin Abu Bakar selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Shah Alam, pagi ini.

Semalam, SPRM telah menahan suspek yang berusia 33 dan 38 tahun di Pejabat SPRM Selangor pada jam 7.15 dan 8.40 malam ketika hadir memberikan keterangan untuk dua kes yang berbeza.

Menurut sumber, bagi individu yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu telah menerima suapan daripada pemilik sebuah syarikat sebagai balasan memilih syarikat tersebut secara langsung bagi membekalkan alat tulis di FAMA.

Manakala untuk suspek kedua pula disyaki telah menerima suapan daripada pemilik syarikat yang sama sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pembekalan alat tulis di jabatan tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.