Bomba terpaksa mengambil masa selama dua jam memujuk seorang lelaki kurang siuman untuk ke hospital bagi membantunya mengeluarkan 16 cincin pada kesemua jarinya yang membengkak di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Razif Musa berkata, seramai tiga anggota digegaskan ke kediaman ahli keluarga lelaki berumur 34 tahun itu, sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.53 petang.

Beliau berkata, panggilan itu dibuat selepas pihak polis yang turut cuba memberi bantuan, gagal mengeluarkan cincin-cincin berkenaan.

"Kesemua 10 jari lelaki kurang siuman itu sudah bengkak sejak enam bulan lepas.

"Setelah berjaya dipujuk, dia dibawa ke Hospital Sultan Ismail, di sini, untuk diberikan ubat bius dan pihak bomba mengambil masa selama 20 minit untuk memotong 16 cincin pelbagai jenis yang dipakainya dengan menggunakan 'ring cutter'," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, ubat bius diberikan bertujuan mengelakkan mangsa bertindak agresif. - BERNAMA