Projek pembinaan transit aliran massa (MRT) bagi Laluan 2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bakal memanfaatkan kira-kira 2 juta penduduk yang tinggal berhampiran dan sepanjang laluan berkenaan.

Projek dengan anggaran kos RM28 bilion yang diterajui MRT Corp itu dijadualkan siap menjelang 2022.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingannya, Datuk Najmuddin Abdullah, Laluan 2 SSP tersebut akan dapat mengurangkan lebih 176,000 kenderaan di atas jalan raya.

"Kita menjangkakan kira-kira 533,000 orang akan menggunakan perkhidmatan ini. Dari segi ekonomi, ia akan memberi impak yang cukup besar. Pembinaan Laluan 2 yang bermula pada tahun ini sahaja telah membuka 130,000 peluang pekerjaan bagi golongan buruh dan profesional secara langsung dan tidak langsung.

"Kita belum lagi bercakap soal impak ekonomi lainnya," kata Najmuddin kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Media Projek Laluan 2 SSP oleh MRT Corp di Kuala Lumpur pada Isnin.

Laluan sepanjang 52.2 kilometer itu meliputi 11 stesen bawah tanah dan 26 stesen bertingkat.

Ia turut akan menyediakan fasiliti serta kemudahan termasuk pengangkutan bas dalam radius 3 kilometer selain tempat meletak kereta bagi 17 stesen terpilih yang menempatkan 9,200 ruang meletak kereta sehari.

Selain itu katanya, MRT Corp turut akan menganugerahkan 47 daripada 72 kontrak pembinaan laluan 2 SSP secara berperingkat sehingga pertengahan tahun depan.

"Setakat ini MRT Corp telah menganugerahkan 16 pakej projek bagi pembinaan SSP, iaitu tujuh pakej kerja-kerja lanjutan, empat pakej kerja jejambat; dua pakej kontraktor/pembekal ditetapkan dan tiap satu untuk pakej kerja depoh serta pakej kerja di bawah tanah," ujar Najmuddin.

Ketika ini projek pembinaan Laluan 2 SSP telah siap antara 10 ke 15 peratus.

Upacara pecah tanah bagi projek pembinaan Laluan 2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya ini akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hujung Ogos ini.