KUALA LUMPUR:Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengesahkan dua kakitangannya positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

DBKL menerusi kenyataan memaklumkan, dua kakitangan itu masing-masing daripada Jabatan Perancangan Bandar (JPRB) yang beroperasi di Tingkat 10, Menara DBKL 1 dan Jabatan Kawalan Bangunan (JKB) yang bertempat di Tingkat 26, Menara DBKL 3.

"Kakitangan JPRB ini disahkan positif COVID-19 pada 12 Okt lepas ekoran suaminya merupakan kontak kepada pesakit wabak itu di tempat kerjanya.

"Bagi kakitangan JKB pula disahkan dijangkiti COVID-19 pada 14 Okt selepas menjalani ujian swab di Klinik Kesihatan Cheras, dan beliau dipercayai mendapat jangkitan daripada ahli keluarga," menurut kenyataan itu, hari ini.

Susulan itu, DBKL melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar telah melaksanakan operasi nyah kuman di lobi, lif, tingkat 3, 11,12 dan 13 Menara DBKL 1 serta lobi, lif, tingkat 26, 28 hingga 31 Menara 3.

Operasi nyah kuman turut dilaksanakan secara menyeluruh di Menara DBKL 1, 2 dan 3 mengikut jadual.

"JPRB telah menghantar senarai nama kontak rapat kepada pesakit ke Pejabat Kesihatan Daerah Gombak seterusnya memanjangkan senarai itu ke Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL).

"JKB juga telah menyerahkan dan memanjangkan senarai nama kontak rapat kepada Klinik Kesihatan Cheras dan JKWPKL," menurut kenyataan itu, yang turut memaklumkan wakil Kementerian Kesihatan (KKM) telah hadir ke lokasi, hari ini, untuk membuat analisis risiko.

Menurut DBKL, operasi di ketiga-tiga Menara DBKL berjalan seperti biasa namun prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM akan diperketatkan bagi menjamin keselamatan pengunjung dan kakitangan.

-- BERNAMA