Dua kanak-kanak lelaki yang dipercayai keluar memancing sejak awal hari ini, ditemukan lemas dalam kolam tadahan air di Kampung Bukit Chabang Selatan dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, DSP Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 5.25 petang dan ketika sampai ke tempat kejadian, jenazah mangsa telah diangkat oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata mangsa, Muhammad Addam Mat Desa, 10, dan rakannya Muhammad Rabbani Zaini, 10, dari Titi Tinggi, Padang Besar dekat sini, dipercayai terjatuh sebelum mayat mereka ditemukan terapung dalam kolam berkenaan.

Jenazah kedua-dua mangsa. - Astro AWANI
"Terdapat dua joran di lokasi kejadian dan penduduk kampung juga memaklumkan yang kedua sahabat ini kerap memancing.

"Berdasarkan keadaan mayat, kemungkinan besar kedua mangsa telah mati lebih kurang empat jam sebelum ditemui," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jenazah mereka kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. -- Bernama