Hanya dua klinik di Kelantan yang terjejas dan tidak dapat beroperasi akibat banjir, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata kedua-dua klinik itu adalah Klinik Kesihatan Rantau Panjang, Pasir Mas dan Klinik Desa Simpangan, Tumpat.

"Operasi Klinik Kesihatan Rantau Panjang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan beroperasi selama 24 jam.

"Operasi Klinik Desa Simpangan pula dipindahkan ke Klinik Kesihatan Bunohan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Kemahang di sini, hari ini.

Hadir sama anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Beliau berkata setakat ini pihaknya belum membuat sebarang taksiran mengenai jumlah kerugian terhadap kedua-dua klinik tersebut.

Sementara itu, Subramaniam berkata sehingga November lepas, hampir 92,000 orang dikesan menghidap HIV dengan 30 peratus daripada mereka telah mendapat rawatan di hospital.

"Rawatan anti-retroviral diberikan secara percuma kepada pesakit HIV dengan kerajaan membelanjakan sebanyak RM50 juta setiap tahun bagi tujuan tersebut.

"Ini adalah penting bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit terutama berkaitan suntikan kepada orang lain dan kita berharap melalui pendekatan ini, sasaran sifar HIV dan AIDS menjelang 2030 akan dapat dicapai," katanya.

-- BERNAMA