Dua kuala di Terengganu diancam hakisan tahap kritikal

Dua kuala di Terengganu diancam hakisan tahap kritikal
Kerajaan negeri akan terus memantau kawasan yang dikenal pasti berdepan hakisan serius bagi memastikan keselamatan penduduk. - Gambar fail
KEMAMAN: Masalah hakisan dan muara cetek di Kuala Dungun dan Kuala Paka, Dungun, Terengganu berada pada tahap kritikal dan perlu ditangani segera.

Berbanding dua kuala itu, Kuala Paka diberi tumpuan khusus selepas tiga buah rumah musnah dibadai ombak dalam tempoh seminggu.

“Tahap hakisan dan muara cetek di Kuala Dungun juga kritikal tetapi masih terkawal,’’ kata Pengerusi
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Rosli Othman ketika ditemui di dalam satu majlis di Kemaman pada Selasa.
Menurut Rosli, kerajaan negeri akan terus memantau kawasan yang dikenal pasti berdepan hakisan serius bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Saya boleh beri jaminan, setakat ini,hanya kawasan Kuala Kemaman, Kemaman tidak terjejas akibat fenomena air pasang besar yang berlaku di Terengganu,’’ ujar beliau.

Buat masa ini katanya, pembinaan benteng pasir sepanjang empat kilometer di Kuala Paka sedang dijalankan sebagai langkah sementara bagi menghalang hakisan.

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi projek tambak pantai di Kuala Paka.

“Permohonan baharu juga akan diajukan bagi kerja memulihkan Kuala Dungun,’’ tambah Rosli.

Baru-baru ini, gara-gara ancaman hakisan, mata pencarian peniaga di beberapa warung hidangan laut popular Terengganu, Ikan Celup Tepung (ICT) di Batu Rakit dan Kemaman terjejas, malah ada yang tepaksa ditutup disebabkan kekurangan pengunjung.

Malah, mereka mendakwa, kebiasaannya 70 kilogram ikan yang dicelup tepung habis dalam tempoh sehari, tetapi kini sukar terjual walaupun hanya 40 kilogram sahaja.