Dua lagi anggota pasukan keselamatan dilaporkan cedera berikutan pertempuran menentang pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah.

Ia bermakna jumlah anggota pasukan keselamatan yang tercedera kini mencecah lima orang.

“Jumlah anggota kami yang tercedera setakat ini seramai lima orang, iaitu tiga orang pada 1 Mac lalu di Kampung Tanduo dan dua orang lagi semalam di Kampung Tanjung Batu,” kata Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dalam sidang media yang diadakan di Lahad Datu sebentar tadi.

Menurut beliau, satu pertempuran berlaku antara jam lapan malam hingga empat pagi semalam dimana pasukan keselamatan telah menjumpai satu mayat pengganas di situ.

Beliau turut menambah, jumlah tahanan yang berjaya ditangkap setakat ini adalah seramai 97 orang dan 125 orang ditangkap kerana memasuki kawasan larangan.