announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Dua lagi kes kematian COVID-19 dicatatkan, 108 kes pulih

Dua lagi kes kematian COVID-19 dicatatkan, 108 kes pulih
Dr Noor Hisham berkata, selain itu sebanyak 142 kes baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari Rabu. Gambar fail.
PUTRAJAYA : Malaysia mencatatkan pertambahan dua lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah terkini korban virus itu sebanyak 45 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, bilangan itu bersamaan 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu sebanyak 142 kes baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari Rabu.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 142 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 2,908 kes.

“Sebanyak 102 daripada jumlah itu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 66 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Katanya, selain itu, terdapat 108 pesakit yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada Rabu, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 645 kes atau bersamaan 22.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas mengenai kes kematian terkini, beliau berkata, kes ke-44 membabitkan wanita tempatan berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-115). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi Selasa," katanya.

Katanya, kes kematian ke-45 pula membabitkan lelaki tempatan berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-486). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada jam 10.46 malam Selasa," katanya.



Tag: Noor Hisham Abdullah, Dr Noor Hisham Abdullah, Kuala Lumpur, ICU, Hospital, meninggal dunia, Malaysia, koronavirus, COVID19



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.