Dua lagi pengguna Lebuhraya Persekutuan menjadi korban struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga, di sini apabila kereta yang dinaiki sepasang sahabat itu hilang kawalan dan merempuh tembok tol dalam kejadian 12.55 pagi tadi.

Kemalangan maut akibat rempuhan tembok plaza tol itu adalah yang kedua di lokasi itu selepas kemalangan yang meragut nyawa dua sahabat pada 15 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata mangsa yang maut adalah Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31, dan Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta dari arah Kuala Lumpur ke Shah Alam itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh tembok di plaza tol berkenaan.

"Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang daripada menyambut hari lahir Noor Hidayah yang jatuh pada tanggal 18 Feb, iaitu semalam.

"Fathurezza Khoirul Huda dan Noor Hidayah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan berikutan kereta yang dinaiki mereka remuk teruk pada bahagian hadapan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baharudin berkata mayat kedua-dua sahabat itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, ramai pengguna laluan itu menyuarakan kebimbangan risiko kemalangan dan menggesa pihak berwajib merobohkan segera Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau yang kini tidak lagi beroperasi.

Bagaimanapun, PLUS Malaysia Berhad, selaku entiti bertanggungjawab menjangkakan perobohan struktur binaan kedua-dua plaza tol itu akan selesai pada hujung Mac ini.

Menurut entiti itu, kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset lain akan dilakukan terlebih dahulu sebelum perobohan struktur fizikal bermula.

Kutipan tol di kedua-dua plaza tol berkenaan dimansuhkan bermula 1 Jan lepas susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 pada Oktober 2017. -- Bernama