Keluarga kepada dua lagi mangsa gempa bumi di Ranau Jumaat lepas dijangka tiba di Sabah hari ini bagi proses pengecaman dan menuntut mayat, kata Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Heric Corray.

Beliau berkata anggota keluarga boleh menuntut mayat selewat-lewatnya pada pukul 3 petang hari ini selepas selesai proses bedah siasat dan dokumentasi di hospital itu.

Mangsa dikenal pasti sebagai warganegara Jepun dan China berdasarkan pasport yang diserahkan kepada pihak hospital, katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata setakat ini, 14 daripada 16 mayat yang diserahkan kepada pihak hospital telahpun dituntut keluarga masing-masing termasuk tujuh warga Singapura serta seorang warganegara Filipina yang menjadi penduduk tetap di Singapura.

Kesemua 14 mayat yang telah dibedah siasat mengalami blunt trauma (trauma majal) berikutan hentakan kuat pada bahagian kepala dan tindihan batu pada anggota badan, katanya.

Setakat kelmarin, jenazah Muhammad Loqman Abdul Karim, 22, dari Melaka merupakan mayat terakhir dituntut oleh keluarganya.

Kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Sabah pada Jumaat lalu telah mengorbankan 16 orang dan dua lagi masih hilang di Gunung Kinabalu semasa tragedi itu berlaku.