Polis menahan dua lagi pegawai kanannya semalam yang disyaki terlibat dalam kes pecah amanah bagi kontrak baik pulih Bangunan Bukit Aman bernilai RM1.5 juta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata jumlah mereka yang ditahan setakat ini menjadi sembilan orang keseluruhannya dan reman terhadap mereka akan disambung mengikut keperluan.

"Kalau tak selesai lagi siasatan, kita akan sambung reman. Ada yang kita akan sambung (reman) dan ada yang tidak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Karate Piala Ketua Polis Negara 2015 di Kompleks Sukan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini, hari ini.

Khalid berkata pihaknya masih menyiasat sekiranya terdapat individu lain yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Siasatan masih berjalan...jika ada lagi yang akan ditahan, kita akan ambil tindakan yang sama terhadap mereka," katanya.

Pada 22 Nov lepas, tujuh individu termasuk seorang pegawai kanan polis ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah amanah RM1.5 juta membabitkan kontrak mengubah suai dan membaik pulih ibu pejabat Polis Bukit Aman.

Mereka yang ditahan terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai bawahan dan juga kontraktor.
Polis turut menyita beberapa kenderaan mewah dan juga akaun bank milik mereka.