Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Antashah

Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Antashah
ANTASHAH: Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Gambar Antashah
KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga minggu berada di Hospital Universiti Singapura (HUS), hanya tinggal dua lagi prosedur sebelum bayi yang menghidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah Antashah (16 bulan), boleh menjalani pembedahan hati.

Bapanya, Antashah Mohd Nor berkata, buat masa ini, Arshad perlu menjalani pemeriksaan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan memasukkan endoskop ke dalam badan (OGD).



Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Gambar Antashah


"Buat masa ini, Arshad perlu menjalani lagi dua prosedur sebelum disahkan betul-betul sihat untuk menjalani pemindahan hati, iaitu MRI dan OGD, yang akan dijadualkan minggu hadapan.

"Selasa lepas, Arshad buat dua prosedur yang memerlukannya anestetik am (bius yang bertindak terhadap sistem saraf pusat dan menyebabkan pesakit tidak sedar)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.



Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Gambar Antashah


Arshad sebelum ini dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk membiayai kos rawatan pemindahan organ yang akan dilakukan di HUS.
Walau sedar pembedahan itu memerlukan kos besar, Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam terus berusaha untuk mencari dana dengan pelbagai cara, selain menyatakan kesanggupan untuk memberikan sebahagian hatinya demi melihat melihat anak keduanya itu kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.



Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Gambar Antashah


Dalam pada itu, doktor juga akan membuat pemeriksaan pergigian dan melakukan pembersihan kaviti.

" Disebabkan pendarahan senang berlaku, doktor nasihatkan Arshad harus membuat pemeriksaan itu untuk mengelakkan kesakitan dan risiko selepas transplan.

"Alhamdulilah, gigi Arshad tidak ada masalah kecuali perlu dibersihkan dan ditampal sedikit," jelasnya.

Ujarnya, prosedur kedua yang sudah dibuat adalah mengeluarkan air daripada perut Arshad.

"Biasanya, doktor boleh buat mengikut rutin dan tidak memerlukan ubat bius.

"Tetapi kerana perut Arshad terlalu besar, doktor memerlukan mesin ultrasound untuk memastikan tempat yang ditebuk tidak mengganggu mana-mana organ dalaman, terutamanya hati," katanya.



Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Gambar Antashah


Tambah Antashah, Arshad juga perlu melalui proses pemindahan darah sebanyak tiga beg selain penambahan platlet darah.

"Perkara yang tak disangka, Arshad dijangkiti bakteria dalam darah daripada proses itu dan timbul ruam-ruam yang besar.

"Setakat semalam, Arshad mengalami demam sehingga 40.1 selsius dan dinasihatkan untuk mengambil antibiotik yang lebih kuat bagi merawat bakteria dan virus yang menyerangnya," jelasnya.

‎Dalam pada itu, ketika ditanya tahap kesihatan Antashah sendiri, ini katanya;

"Saya dalam proses menjalani ujian MRI. Kedua ujian darah dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

"Terdapat petunjuk positif saya sebagai penderma buat masa ini."



Dua lagi prosedur sebelum pembedahan hati Arshad bermula - Gambar Antashah


Kata Antashah lagi, proses untuk pemindahan hati Arshad agak kompleks berbanding pesakit lain kerana banyak perkara perlu dipastikan sebelum disahkan sesuai untuk menjalani pembedahan.

"Dari tulang belakang, gigi, paru-paru dan bebas dari demam selain berat badan ideal barulah semua pakar akan berbincang dan menentukan tarikh yang sesuai buat Arshad," ujarnya.

Antashah memberitahu, dana pembedahan Arshad juga masih belum mencukupi, selain kini menggunakan sumbangan sedia ada untuk membiayai kos rawatan dan pemeriksaan sebelum pemindahan hati.

"Memang masih belum cukup, kita berdoa dana untuk pembedahan nanti mencukupi pada saatnya. Maklumat juga boleh diperolehi melalui https://www.facebook.com/Arshadimanshah,
#donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad," katanya.