Dua lelaki yang disyaki mencuri seekor lembu berputih mata apabila kereta yang mereka naiki untuk melarikan haiwan itu terbakar secara tiba-tiba dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Bukit Kenak di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata lembu yang dilarikan mereka juga hangus terbakar akibat terperangkap dalam kereta berkenaan.

Khaled berkata sebelum kejadian, dua lelaki berkenaan telah dikesan oleh anggota polis ronda MPV Besut ketika sedang membawa seekor lembu di dalam kereta jenis Nissan Cefiro pada pukul 3.40 pagi di kampung Jabi dekat Jerteh.

Katanya, apabila mereka menyedari diekori pihak polis pemandu kereta itu mula memecut kenderaan ke arah Jerteh.

"Apabila tiba di Kampung Bukit Kenak, kenderaan suspek telah terbabas dan terbakar di tepi jalan kira-kira dua kilometer dari bandar Jerteh sebelum kedua suspek bertindak melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) kemudian memadam kereta yang terbakar dan setelah api berjaya dipadamkan mereka menemui bangkai lembu yang telah hangus dalam kereta itu, katanya.

"Pihak polis kemudian berjaya menahan salah seorang suspek yang berumur 48 tahun, dipercayai berasal dari Machang, Kelantan, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis sebelum berjaya ditangkap.

"Akibat tindakannya itu dia mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Besut dalam kawalan polis bagi mendapatkan rawatan," katanya.