Dua lelaki dikhuatiri sesat turun Bukit Panchang diselamatkan

Dua lelaki dikhuatiri sesat turun Bukit Panchang diselamatkan
Kedua-dua mangsa mendaki bukit itu bersama lima rakan yang lain pada pukul 6.30 pagi tadi namun ketika menuruni bukit mangsa terpisah daripada kumpulan. - Gambar hiasan
TAWAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat menyelamatkan dua lelaki yang dikhuatiri sesat ketika cuba menuruni Bukit Panchang, Batu 6, Jalan Apas di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Syarudi Delamin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada mangsa pada 11.25 pagi.
Katanya, enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau dikerahkan ke lokasi bagi bantuan mencari dan menyelamat.

"Kedua-dua mangsa itu dikenali sebagai Mohd Hasrul Ruswani, 22, dan Mohammad Amirul Mohd, 17, ditemui dalam keadaan lesu pada 1.13 tengah hari dan tiba di kaki bukit pada pukul 2 petang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syarudi berkata kedua-dua mangsa mendaki bukit itu bersama lima rakan yang lain pada pukul 6.30 pagi tadi namun ketika menuruni bukit mangsa terpisah daripada kumpulan.

-- BERNAMA