Polis merampas 1,734 karton rokok seludup bernilai RM275,192 dan menahan dua lelaki dalam satu serbuan di Jinjang di sini, Selasa.

Kedua-dua lelaki tempatan berusia 38 dan 59 tahun itu ditahan kerana disyaki aktif dalam sindiket pengedaran rokok seludup sekitar Kuala Lumpur.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta dan wang tunai RM4,400 yang dipercayai milik suspek.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat, tambahnya.