Dua lelaki menerima padah apabila cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melepaskan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya mahu masuk ke Malaysia.

Tindakan dua lelaki Myanmar merasuah pegawai sebanyak RM25,000 itu gagal apabila kedua-dua mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 29 dan 35 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong yang terbabit secara aktif dalam kes penyeludupan manusia di Langkawi khususnya membabitkan etnik Rohingya.

Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, dua individu itu ditangkap pada jam 3.35 pagi semalam (Isnin) hasil perangkap yang diatur ketika suspek cuba menyogok pegawai penguat kuasa APMM, bagi melepaskan 25 etnik Rohingya yang sudah mendarat dan ditahan di Langkawi.

Kedua-dua individu ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.