Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu menahan sebuah bot bersama dua lelaki dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di kawasan Pulau Gaya, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Pajeri Ali berkata dalam operasi yang dijalankan pada jam 6 petang itu, seorang daripada lelaki itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala seorang lagi adalah warga tempatan berusia 34 tahun.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui 20 kilogram ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

"PPM turut menemui beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk menangkap ikan itu, antaranya dua unit cermin selam dan jaring penyauk ikan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,500 dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan untuk disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum dua tahun.

-- BERNAMA