Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penggunaan alat dron semasa proses penamaan calon di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 21 tahun ditahan kira-kira pukul 9.40 pagi di pekarangan ADTEC.

Katanya, mereka ditahan selepas dipercayai menerbangkan dron di kawasan penyokong berkumpul dalam anggaran 70 meter dari luar pusat penamaan P59 Bukit Gantang.

"Polis turut merampas, sebuah dron jenama DJI Spark berserta alat kawalan jauh," ujarnya.

Menurut Mohamad, kedua-dua mereka disiasat dibawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah telah membuat kenyataan mengenai larangan penggunaan dron dan paraglider semasa proses penamaan calon.

Menurut Zulkifli, larangan tersebut dibuat atas dasar keselamatan.