Polis menahan dua lelaki berumur 24 dan 32 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Felda Jelai 3, Gemas dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin pada 11.45 malam, dua peket plastik lutsinar dan satu tiub straw disyaki dadah jenis Heroin seberat 19.15 gram yang diisi dalam sebuah kotak besi.

Turut ditemui enam peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 5.55 gram.

"Saringan awal yang dibuat polis mendapati kedua-dua positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan di lokap IPD Tampin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, Seksyen 39A (1) (hukuman penjara sehingga lima tahun dan maksimum sembilan sebatan) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000).

Sementara itu, dalam kes berasingan, Hamazah berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 20 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Jelai 2, Gemas pada pukul 11 malam, hari yang sama.

"Pemeriksaan tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah namun pemeriksaan di atas almari di dalam rumah suspek, polis menjumpai satu laras senapang angin bersama 92 biji (ball) bearing dipercayai peluru kepada senapang angin tersebut.

"Suspek telah membawa polis ke bilik tengah rumah tersebut dan mengambil satu paket plastik lutsinar di celah-celah lipatan kain di dalam bilik tersebut. Hasil dari pemeriksaan ke atas paket plastik tersebut, dapati di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.03 gram," katanya.

Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan dan Sek 15(1)(a) ADB 1952.

Manakala bagi kes memiliki senapang angin, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA