Dua lelaki mengaku tidak bersalah di atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM2,695,685.50 juta sejak tahun 2014.

Kedua-dua tertuduh, Zulhilmi Mat Nayan dan Ahmad dan Hafiz Dahlan, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada pagi Khamis.

Hafiz, 37, yang bekerja sebagai seorang Pembantu Pegawai Teknologi Maklumat di sebuah IPTA menghadapi tiga pertuduhan melibatkan RM1,851,885.57 manakala Zulhilmi, 34, yang bekerja sebagai seorang peniaga atas talian menghadapi satu pertuduhan melibatkan RM853,799.93.

Bagi empat pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), Zulhilmi dan Hafiz didakwa melakukan kesalahan itu di antara tahun September 2014 dan Januari 2015 membabitkan jumlah sekitar RM2.7 juta iaitu dengan memindahkan wang berkenaan daripada akaun simpanan kepada akaun semasa dengan menggunakan sistem transaksi atas talian ke dalam bank tempatan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Tanjung Malim, Perak dengan cara melupus, memiliki, menerima dan memindahkan wang haram bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Norita bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Mohd Faizi Che Abu untuk mengikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap Hafiz dan RM5,000 bagi Zulhilmi di atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafinas Shabudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Faizi Che Abu.

Sebelum ini,pada penghujung Januari 2015, Malayan Banking Berhad mengesan transaksi mencurigakan di dalam sistem pemindahan wang atas talian sebanyak RM36 juta di seluruh negara.

Susulan itu, sebanyak 30 suspek telah didakwa atas pengubahan wang haram termasuk seorang individu yang terlibat dalam pendakwaaan bernilai RM8 juta.