Dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai sebuah kementerian direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan bernilai lebih RM75,000.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noraisyah Mohd Yusof mulai hari ini hingga 17 Mac selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret di sini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia 54 dan 25 tahun itu ditahan SPRM kira-kira pukul 4.40 petang Rabu di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Awan Besar di Lebuhraya Shah Alam.

Tambahnya, kedua-dua individu tersebut dipercayai telah bersubahat meminta suapan sebanyak RM75,000 sebagai dorongan bagi mengeluarkan surat kelulusan kuota pekerja asing oleh kementerian tersebut.

Susulan penahanan itu, SPRM juga telah menyita wang tunai berjumlah RM25,000, dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan beberapa dokumen berkaitan daripada kedua-dua individu tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.