Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati di ‎Mahkamah Tinggi Taiping hari ini selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata dan menyebabkan kematian rakan sekerja salah seorang
tertuduh empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu terhadap dua lelaki iaitu Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 29, dan Cheah Cheong Tatt, 27, setelah mahkamah mendapati pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh terhadap kesalahan tersebut.

Katanya mahkamah mendapati pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan Mohd Hafizuddin yang merupakan bekas pekerja syarikat keselamatan didakwa melakukan kesalahan merompak wang tunai berjumlah lebih RM1.2 juta milik syarikat Safeguards G4S Sdn Bhd.

Tertuduh juga telah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian rakan sekerjanya Hasnul Hafis Saad, 28.

Manakala Cheong Tatt pula didakwa kerana bertindak sebagai rakan sejenayah kepada Mohd Hafizuddin.‎

Kesalahan tersebut dilakukan di hadapan Supermarket Giant, Jalan Tekkah, Aulong, di antara 2 hingga 3.25 petang pada 18 September 2012.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz Abd Razak manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Ang Chun Pun.

Kedua-dua mereka kelihatan tenang ketika keputusan perbicaraan dibacakan di hadapan mereka.

Mengikut laporan akhbar pada 18 September 2012, mangsa Hasnul Hafis bertugas bersama suspek Mohd Hafizuddin dalam perjalanan pulang dengan sebuah van keselamatan ke syarikat tempat mereka bekerja, Safeguard Securicor di Kampung Boyan selepas mengambil wang mesin deposit di beberapa bank di sini.

Mangsa Hasnul Hafis ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan empat kesan tembakan di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri dalam kejadian berkenaan.

Mohd Hafizuddin dikatakan telah melarikan enam beg berisi wang tunai berjumlah RM 1.2 juta selepas menembak mangsa.