Dua lelaki maut, tiga parah dan seorang lagi cedera, dalam nahas yang melibatkan lima motosikal di KM40 Jalan Lumut-Ipoh, di Bota, dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi ini.

Mangsa, Aidil Hakimie Abd Latid,19 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Syed Muhammad Badrul Amin Syed Mohd Nasir, 23 tahun, meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang (HCM).

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kelima-lima motosikal itu datang dari arah Durian Kudung menghala ke Bota.

Selain dua yang meninggal dunia, abang Aidil Hakimie, anggota tentera Muhamad Saufi, 22 tahun, mengalami pendarahan di kepala.

Dia dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Dua penunggang lain, Muhammad Aiman Rusli, 20 tahun, patah tangan kanan, Abu Kassim Mohd Saad, 25 tahun, patah kaki kanan, manakala Mohamad Idham Mohd Mokhtar, 21 tahun, hanya cedera ringan.

“Kesemua mereka dirawat di Hospital Changkat Melintang,” kata Mohamad Zainal.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila dua motosikal bergesel menyebabkan mangsa dan kenderaan jatuh di atas jalan.

Tiga motosikal di belakang pula tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal yang terjatuh mengakibatkan kesemua motosikal terseret di pelbagai arah.

“Tiada saksi bebas yang nampak bagaimana dan punca kemalangan ini berlaku,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Mohamad Zainal, kesemua mangsa bukan sedang merempit kerana mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan pagi ini.

Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.