Misteri kehilangan seorang kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Azmee Elias yang hilang hampir dua minggu lalu terjawab apabila ditemukan dalam keadaan terlentang di rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai Kecil di Batu Pahat, Johor 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Abdul Wahib Musa ketika dihubungi mengesahkan penemuan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 12 Februari lalu.

"Azmee dikejarkan ke hospital kerana masalah kesihatan disebabkan tidak makan dan minum dalam beberapa hari. Buat masa ini, pihak kami masih belum merakam keterangan mangsa kerana masih lagi menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sebelum ini, polis menemui kereta jenis Perodua Alza milik mangsa yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di Jalan Jenderam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.

Azmee ditemukan terlentang di rumah neneknya di Batu Pahat. - Foto PDRM
Usaha pencarian mangsa turut diperluaskan sekitar 100km dari kawasan berkenaan selepas isterinya membuat aduan tentang kehilangannya.

Mangsa kali terakhir dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di Taman Sri Hartamas di sini pada 12 Feb lalu dengan berpakaian pejabat, baju berwarna gelap, berseluar kelabu dan berkaca mata.