Dua pekerja Telekom Malaysia Berhad (TM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi itu pada Disember lepas.

Tertuduh, yang merupakan pembantu teknik TM, Mohd Areza Suhaimi, 29 tahun, dan Azmi Zainal, 30 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Jailani Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka dengan niat bersama mencuri tiga dram kabel drop fiber daripada milikan TM di dalam bangunan Ibu Sawat TM Tampoi yang digunakan sebagai tempat untuk simpanan harta benda, kira-kira pukul tiga petang , 21 Disember 2017.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Kes dikendali Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurdiyanah Mohd Nawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Eddin Syazlee.

Tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan kes disebut semula pada 20 Mac ini.