Dua daripada tiga pelajar Sekolah Tunas Bakti, Telok Air Tawar dekat sini yang dilaporkan melarikan diri Selasa lepas berjaya ditahan berhampiran Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang, hari ini.

Pelajar sekolah juvana berusia 17 tahun berkenaan ditahan kira-kira jam 1.45 pagi Sabtu melalui maklumat orang awam yang melihat kelibat mereka dalam keadaan mencurigakan di kawasan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, penahanan dua remaja lelaki terbabit sekali gus membantu polis menjejaki seorang lagi rakan mereka yang masih menghilangkan diri.

Ketika pemeriksaan terhadap dua pelajar itu, polis turut menemui semula dua motosikal jenis Yamaha Ego dan Honda EX5 yang dipercayai hilang di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kuala Perlis.

Dua pelajar itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian petang Selasa lepas, tiga pelajar dilaporkan hilang ketika program ceramah harian sekolah berkenaan berlangsung.

Kehilangan mereka disedari warden sekolah yang mengambil rekod kehadiran pelajar sebelum menghubungi polis.