Dua pemburu haram warga asing akhirnya diberkas

Dua pemburu haram warga asing akhirnya diberkas
Menurut Xavier, suspek menggunakan pas lawatan ke negara ini dan di kesan masuk ke Malaysia sejak Disember 2018. - Astro AWANI
PUTRAJAYA : Sindiket pemburu haram yang didalangi warga asing berjaya ditumpaskan dalam satu operasi “Ops Belang” yang dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) pada Isnin di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu.

Dalam operasi tersebut, dua warga Vietnam berjaya diberkas bersama dengan hasil buruan haram mereka.

Antara yang dirampas dalam kejadian jam 6.45 pagi itu termasuklah kuku dan taring harimau belang, beberapa bahagian dan organ beruang matahari iaitu kuku, taring dan juga hempedu, beberapa bahagian disyaki daripada babi hutan dan beberapa tulang yang masih belum dikenal pasti selain jerat dan peralatan memburu.

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, kedua-dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu menggunakan pas lawatan ke negara ini dan di kesan masuk ke Malaysia sejak Disember 2018.
“Malangnya kita tak dapat kulit harimau, walaupun kita syaki bahawa ada dua harimau yang telah dibunuh, tetapi kulit harimau ataupun kepala harimau tidak dijumpa. Kita percaya suspek bukan dua orang sahaja di dalam kumpulan ini. Memang kumpulan ini ada empat orang," katanya dalam sidang media yang diadakan di Putrajaya pada Selasa.

Antara bahagian hidupan liar yang dirampas dalam Ops Belang. - Astro AWANI

Kedua-dua suspek kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu untuk disiasat.

Mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Taman Negara Terengganu kerana menceroboh Taman Negara dan disiasat kerana memburu serta menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 29 Akta 716 kerana memiliki jerat.

Menurut Xavier, pihak Perhilitan percaya menerusi barang rampasan yang diperolehi suspek dipercayai telah membunuh sekurang-kurangnya dua harimau belang, dua harimau kumbang, tiga beruang dan 12 babi hutan dengan menggunakan jerat yang mereka pasang.

Keseluruhan nilai pasaran hasil buruan tersebut dianggarkan mencecah sehingga RM600,000.

Antara jerat yang digunakan oleh pemburu haram dalam aktiviti mereka. - Astro AWANI

Tag: Putrajaya, Vietnam, Nilai, polis, suspek, warga asing, pemburuan haram, harimau kumbang, babi hutan, hidupan liar


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.