Tiga sekawan yang dilaporkan hilang ketika mencari asam paya sejak semalam terjawab apabila dua daripada mereka ditemui mati dan seorang lagi tidak bermaya di tengah hutan Bedanga, dekat sini.

Mangsa ditemukan pasukan pencari dan penyelamat (SAR) setelah polis menerima maklumat kehilangan mereka daripada ibu salah seorang mangsa pada jam 8.30 pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, mangsa pertama ditemui sekitar jam 11.15 pagi, selepas lebih tiga jam gerakan SAR dilancarkan.

“Mangsa pertama iaitu Stanley Saka, 21, ditemui tidak bernyawa di bawah sepohon pokok selepas dua kilometer pasukan SAR meredah kawasan berpaya.

"Manakala mangsa kedua, Lawrence Jainal, 40 tahun ditemui di kawasan tanah lapang berjarak 60 meter dari mangsa pertama dalam keadaan lemah.

Kata Ling Hii lagi, mangsa ketiga yang identitinya hanya dikenali sebagai Chuat ditemui kira-kira 50 meter dari mangsa kedua juga, telah meninggal dunia.

Lawrence dikeluarkan oleh pasukan SAR pada jam 12.35 tengah hari dan segera dikejarkan ke Hospital Mukah.

“ Mayat Stanley pula dikeluarkan pada jam 2 petang manakala Chuat 10 minit kemudian.

Kedua-duanya kemudian diperiksa oleh pasukan paramedik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Punca kematian mereka masih dalam siasatan dan pihak polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.