Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM22,000 dalam operasi di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 10.50 malam itu, seorang pelayan kedai kopi berusia 27 tahun dan seorang penganggur berusia 26 tahun ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zailanni Amit berkata, polis menemui satu paket dadah disyaki syabu, tujuh paket serbuk disyaki dadah, 10 batang rokok mengandungi ganja, 24 biji pil dadah, 71 paket dadah ketamine dalam kenderaan tersebut.

Hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis turut menemukan 35 paket hitam disyaki mengandungi dadah, katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, polis turut merampas kenderaan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.