Tindakan dua individu yang cuba menggunakan jalan mudah dengan menggunakan kaedah 'bom ikan' untuk menangkap ikan akhirnya tumpas selepas kedua-dua suspek ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15), semalam.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Adam Aziz berkata, Bot Peronda Maritim yang sedang melaksanakan OP Sejahtera di sekitar perairan Pulau Gaya telah menerima aduan awam mengenai sebuah bot pam, yang disyaki melakukan aktiviti pengeboman ikan, telah memasuki kawasan perairan Pulau Mengalum.

Bertindak atas makluman, Bot Peronda Maritim itu bergerak ke lokasi dan mengesan serta menahan sebuah bot pam berwarna putih dan tidak mempunyai nombor pendaftaran yang dalam keadaan mencurigakan pada jam lebih kurang 4 petang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dua orang kru dalam lingkungan umur 20 hingga 35 tahun berada diatas bot pam tersebut dan gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

"Bot pam itu juga tidak memiliki lesen dan memiliki anggaran ikan sebanyak 70kg yang disyaki ditangkap dengan cara pengeboman ikan.

"Kedua-dua kru dan bot pam tersebut seterusnya ditahan dan diiringi masuk ke Pulau Mengalum untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda sebanyak RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Kes ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.

Untuk rekod, Sejak OP API 1 dilaksanakan pada 22 Mac lalu, statistik menunjukkan enam tangkapan bot pam yang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan kaedah bom telah berjaya di tahan.