INGAT nama-nama ini: Lokman Hakim dan Saras Manickam. Salah seorang daripadanya mungkin menjadi penulis Malaysia pertama yang memenangi anugerah berprestij Hadiah Cerita Pendek Komanwel.

Mereka berjaya disenarai pendek sebagai antara finalis yang datangnya dari seluruh dunia, termasuk penulis dari negara seperti Australia, Zambia, Cyprus, Bahamas dan United Kingdom.

Lokman dan Saras menidakkan cabaran 5,060 penyertaan lain dari 50 negara Komanwel untuk menjadi kalangan 21 peserta akhir. Jika salah seorang daripada mereka menang, ia menjadi kali pertama rakyat Malaysia memenangi hadiah tersebut sejak pertandingan itu diperkenalkan pada 2012.

Lokman menghasilkan cerita bertajuk 'Pengap', yang diterjemah dari bahasa Melayu oleh Adriana Nordin Manan. Cerita Lokman menjelaskan maksud 'pengap' atau 'sesak', dari kaca mata watak-watak yang enggan berpindah ke kota yang sesak.

Lokman merupakan seorang jurutera infrastruktur, telah menulis beberapa buah buku, termasuk novel, koleksi cerita pendek dan puisi. Karya-karyanya pernah diterbitkan dalam akhbar tempatan dan laman web kesusasteraan serta majalah.

(Dari kiri) Lokman Hakim, Adriana Nordin Manan dan Saras Manickam.
Sementara Saras mempertaruhkan ceritanya bertajuk ‘My Mother Pattu’, yang mengisahkan cemburu seorang ibu terhadap anaknya yang bergantung kepada dirinya semata-mata sebagai perlindungan daripada keganasan ibunya.

Saras, seorang penulis bebas, guru bahasa dan penulisan kreatif, sebelum ini karya-karyanya pernah diterbitkan dalam antologi Malaysia. Dia juga pernah memenangi Anugerah Memorial DK Dutt untuk Keunggulan Kesusasteraan pada 2017, dan berhasrat untuk menerbitkan koleksi cerita pendek pada penghujung tahun ini.

Pemenang akan ditentukan oleh panel enam juri, kesemuanya dari negara-negara Komanwel. Panel tersebut dipengerusikan oleh novelis, penulis skrip dan esei Britain, Caryl Phillips.

Dalam muat naik di laman web Penulis Komanwel, Phillips berkata ia satu penghormatan besar untuk menjadi sebahagian daripada juri bagi edisi 2019.

"Kekuatan dan kepentingan bentuk cerita pendek begitu jelas terlihat dalam senarai pendek hebat ini dari seluruh dunia.

"Para penulis ini berani untuk berimaginasi ke dalam kehidupan pelbagai watak dan cerita mereka mengupas situasi yang berlaku serantau dan semesta," katanya.

Pemenang serantau akan menerima hadiah bernilai 2,500 Pound sementara pemenang keseluruhan akan dihadiahkan 5,000 Pound, di mana pemenang selalunya akan diumumkan pada bulan Mei.

Semoga berjaya, Lokman dan Saras!