Dua penumpang MH370 dengan pasport palsu beli tiket pada masa sama

Dua penumpang MH370 dengan pasport palsu beli tiket pada masa sama
KUALA LUMPUR: Dua individu yang didakwa menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan pasport palsu, dilaporkan membeli tiket penerbangan pada masa yang sama.

Menurut laporan CCN, kedua tiket itu dibeli dari China Southern Airlines dalam mata wang Bath Thailand pada harga yang sama.

CNN melaporkan bahawa maklumat itu didapati daripada Travelsky, iaitu sistem pengesahan e-tiket rasmi China.

Nombor siri tiket-tiket itu dikatakan mengikut turutan yang menandakan ia dikeluarkan bersama.
Sebelum ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan hanya dua pasport dicuri yang digunakan penumpang MH370 bukan empat seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pengesahan dibuat berdasarkan rekod rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan pemeriksaan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Hanya ada dua penumpang yang guna pasport curi.

"Kami ada rekod rakaman CCTV dari 'checking departure point'," katanya.

Jelasnya, rakaman tersebut digunakan untuk menyiasat insiden itu.

Individu pertama ialah seorang lelaki warga Itali  bernama Luigi Maraldi yang dilaporkan kini berada di Phuket, Thailand.

Individu kedua yang namanya berada di dalam senarai penumpang tetapi tidak menaiki pesawat MH370 ialah seorang warga Austria yang juga melaporkan pasportnya dicuri dua tahun lalu di Thailand.

Terdahulu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa empat penumpang MH370 yang masih hilang menggunakan pasport curi.

Sementara itu, travelchinaguide.com melaporkan bahawa pemegang pasport dari 51 negara dan wilayah berikut boleh diberikan penginapan tanpa visa selama 72 jam semasa dalam transit melalui Lapangan terbang Beijing Capital (PEK) dan  Lapangan terbang Antarabangsa Shanghai Pudong (PVG) & Lapangan terbang Antarabangsa Hongqiao (SHA), lapangan Terbang Guangzhou Baiyun (CAN), Lapangan terbang Antarabangsa Chengdu Shuangliu (CTU), Lapangan terbang Antarabangsa Shenyang Taoxian (SHE) dan Lapangan terbang Antarabangsa Dalian (DLC):

Argentina, Austria, Australia, Belgium, Albania, Bosnia Herzegovina, Brazil, Brunei, Bulgaria, Canada, Chile, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Germany, Greece, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Japun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Macedonia, Malta, Mexico, Netherlands, New Zealand, Poland, Portugal, Qatar, Republik Montenegro, Romania, Russia, Serbia, Singapura, Slovakia, Slovenia, Korea Selatan, Sepanyol, Sweden, Switzerland, United Arab Emirates, Ukraine, United Kingdom, Amerika Syarikat.