Susulan kes bunuh tiga beradik di dua lokasi berasingan di Alor Senibong dan Alor Semela, Alor Setar pada 30 November lalu.

Dua remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun dari Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar ditahan polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kedah , ACP Mohd Nashir Ya. Kedua-dua suspek ditahan di rumah masing-masing di sekitar Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar. Mereka ditahan antara jam 5.30 petang hingga 11 malam tadi.

Menurut Nashir kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai tidak bekerja dan hubungan antara kedua-duanya ialah rakan sekampung . Mereka kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan akan disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar siang tadi untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Kedua-dua ditangkap untuk siasatan lanjut sabit kes bunuh melibatkan tiga remaja yang berlaku pada akhir bulan November tempoh hari. Kedua-dua remaja Melayu, berbangsa Melayu ini telah mendapat perintah mahkamah untuk tahanan lanjut selama sehingga 20 haribulan ini untuk siasatan lanjut. “ kata Nashir.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Alor Setar hari ini.

Dalam kejadian 30 November lalu, mayat pertama, Nur Syafikah Rusdi,14, ditemui di kawasan sawah terbiar Kampung Alor Senibung, manakala mayat dua lagi adiknya Nur Izzati Husna Rusdi,12 dan Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, ditemui terapung di kawasan tali air MADA Alor Semela, Alor Setar kira-kira jam 4 petang pada 1 Disember.

Ketiga-tiga beradik tersebut dilaporkan hilang oleh ibu bapa mereka pada 29 November setelah keluar dengan menunggang motosikal pada jam 7.30 malam untuk ke rumah rakan yang terletak berdekatan rumah mereka. Mereka bagaimanapun tidak pulang ke rumah.