Keseronokan dua sahabat bermandi-manda akhirnya bertukar tragedi selepas mereka ditemui lemas dalam kejadian di sungai berhampiran sebuah pusat rekreasi Kampung Kibunut, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.47 petang, mangsa dikenali Nordiana Elizsar, 14, dan Dayang Sabrina Murib, 15, ditemui kira-kira tujuh meter daripada lokasi terakhir mereka di lokasi tersebut oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang yang bergegas ke kawasan insiden sebaik sahaja menerima panggilan orang awam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa bersama tiga rakannya ke lokasi terbabit yang juga pusat rekreasi di tepi sungai berkenaan.

Kedua-dua mangsa dikatakan tergelincir lalu dibawa arus deras sungai tersebut.

"Hasil siasatan lanjut melalui rakan mangsa menyatakan bahawa kedua-dua mereka tidak pandai berenang dan telah tergelincir ke sungai tersebut.

"Rakan mangsa yang cuba membantu menyelamatkan mangsa menemui jalan buntu apabila kedua-dua mereka dibawa arus deras," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, kedua-dua mayat mangsa berjaya ditemui pihak BBP Penampang kira-kira jam 3:07 petang dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mangsa yang tergelincir itu dikatakan tidak tahu berenang lalu dibawa arus deras.