Dua remaja maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung antara satu sama lain dalam satu kemalangan di Jalan Melor-Ketereh, di Kampung Buluh Poh, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5.15 pagi, dua remaja berkenaan termasuk salah seorang darinya pelajar tingkatan empat Sekolah Menangah Kebangsaan Kadok, di sini maut di tempat kejadian.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Rashdan Ismail, 19 dan Mohd Nurissyam Mohd Syamri, 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mohd Sidek berkata, dalam kemalangan tersebut, kedua-dua motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan dikatakan bertembung di garisan tengah jalan itu.

"Dua motosikal berkenaan dalam keadaan laju dan tidak sempat menekan brek lalu bertembung sesama sendiri dalam keadaan jalan yang lurus dan gelap.

"Dua mangsa berkenaan tidak mempunyai lesen memandu dengan salah seorang daripada mereka tidak memakai topi keledar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Mayat kedua-dua remaja itu di hantar ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia, (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Kes di siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.