Dua remaja maut apabila motosikal yang mereka naiki digilis treler selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, berhampiran Pos Raya, dekat sini, pada Rabu.

Mangsa, penunggang motosikal, Muhamad Husni Muhamad Anuar, 19 tahun, dan pembonceng, Nur Aina Zafirah Abdul Malek, 17 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dari arah Ipoh cuba memotong sebuah treler lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Mangsa terjatuh di atas jalan, dan treler berkenaan tidak sempat mengelak dan brek, telah melanggar motosikal yang terbalik di atas jalan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta mengalami kecederaan selepas kenderaannya terbabas ke dalam semak, manakala pemandu treler tidak cedera.

BACA: Dua kemalangan, tiga maut dalam tempoh sejam

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang warga emas, P. Ramakrishnan, 61 tahun, maut selepas kenderaan jenis Toyota Innova yang dipandunya dirempuh sebuah lori di Jalan Jelapang-Chemor, berhampiran Kompleks KDN Meru, kira-kira jam 3.10 petang Rabu.

Menurut Mohamad Nordin, siasatan awal mendapati sebuah lori dari arah Jelapang ke Chemor telah hilang kawalan lalu merempuh kenderaan mangsa di laluan bertentangan.

“Mangsa mengalami kecederaan serta tersepit dalam kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu lori dan seorang penumpang Toyota Innova tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.

Kedua-dua kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.