Dua remaja pelajar tahfiz didakwa lakukan amang seksual fizikal

Dua remaja pelajar tahfiz didakwa lakukan amang seksual fizikal
Salah seorang pelajar tahfiz yang didakwa atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Dua pelajar tahfiz didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki yang berusia 10 dan 13 tahun.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 dan 15 tahun itu masing-masing berdepan dengan tiga pertuduhan.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berusia 17 tahun bagi maksud seksual melakukan perbuatan menggesel kemaluan di bahagian punggung mangsa yang berusia 13 tahun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kesalahan itu dilakukan di bilik asrama sebuah madrasah di Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.30 malam pada Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (B) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di tempat sama pada 11 hingga 30 Ogos lalu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kira-kira pukul 10.30 malam pada 11 hingga 30 Ogos lalu di tempat sama.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh yang berusia 15 tahun turut berdepan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 10 tahun.

Perbuatan itu dilakukan pada pertengahan Mei lalu kira-kira pukul 12 malam di bilik asrama sebuah madrasah di Kuala Terengganu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tetuduh telah melakukan amang seksual dengan meraba kemaluan mangsa di mana perbuatan itu dilakukan pada penghujung Mei lalu kira-kira pukul 11 malam di surau madrasah berkenaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 seorang dan menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Assisten Superinden Mohd Ridhuan Mohina Din.


Tag: pelajar tahfiz, amang seksual, didakwa, Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.