Dua remaja lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan menyamun menggunakan pistol palsu, masing-masing berjaya ditahan polis dalam serbuan di sebuah kedai di Jalan Kota Permai, di sini pada Khamis dan di sebuah pangsapuri di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata remaja pertama berusia 19 tahun itu ditahan kira-kira dua jam selepas dia menyamun seorang pemandu kereta di Taman Limau Emas di sini, pada hari sama.

"Dalam kejadian itu, suspek bertindak membuka pintu sebelah penumpang dan mengacukan pistol palsu ke kepala mangsa serta mengarahkan pemandu wanita itu menyerahkan semua barang berharga miliknya.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama seorang lelaki yang sedang menunggu. Ekoran kejadian itu, polis melancarkan operasi dan berjaya mengesan remaja terbabit di kedaitersebut," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan remaja itu, polis berjaya menahan seorang lagi remaja berusia 18 tahun yang merupakan rakan suspek pertama di sebuah pangsapuri di sini semalam pada kira-kira 2 pagi.

Nik Ros Azhan berkata polis juga merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125z yang dilaporkan hilang di Simpang Ampat dekat sini, baru-baru ini.

"Polis turut merampas wang tunai RM500 dan pistol palsu yang digunakan mereka dalam kegiatan samun. Siasatan juga mendapati mereka memang dikehendaki polis bersabit kes dadah," katanya.

Katanya siasatan juga mendapati kedua-duanya yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu terlibat sekurang-kurangnya 10 kes samun menggunakan pistol tiruan di sekitar SPT dan Kulim, Kedah sejakbeberapa bulan lepas.

Beliau berkata dua remaja itu kini direman lima hari bagi membantu siasatan dan polis sedang mengesan beberapa lagi anggota geng berkenaan.

Dalam perkembangan lain, katanya polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kerana terlibat dalam kes curi motosikal dan meleraikan komponen sebelum menjualnya dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pauh di sini pada Khamis.

"Lelaki itu ditahan bersama sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Bukit Tengah baru-baru ini. Siasatan mendapati dia terlibat dalam aktiviti itu sejak tiga bulan lepas dan menjual komponen motosikal yang dileraikan kepada mat rempit dengan harga murah," katanya.

-- BERNAMA