Seorang pemandu dan penumpang rentung apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di kilometer 205.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di Ayer Keroh, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira 10.30 malam itu, kedua-dua mangsa gagal menyelamatkan diri apabila kereta Proton Wira yang dinaiki tersepit di bawah lori yang membawa muatan lebih 15 tan hampas soya dari Pelabuhan Klang menuju ke Pasir Gudang, Johor.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Melaka, Kushairy Deraman berkata, sebuah jentera dan 'water tanker' dengan kekuatan seramai enam anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran sebelum usaha menyelamatkan mangsa dilakukan termasuk dengan bantuan pihak PLUS.

Menurutnya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa hampir empat jam dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 3.05 pagi dan penumpang kedua dikeluarkan pada jam 3.25 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan.

Jelasnya, ketika bomba sampai ditempat kejadian api masih marak dan pemandu lori terbabit dipercayai telah melarikan diri.

Identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun masih belum dapat dikenal pasti dan mayat mereka telah dihantar ke hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.