Persiapan Aidilfitri bagi dua keluarga musnah sekelip mata pada malam Rabu selepas rumah mereka dijilat api dalam insiden kebakaran di Kampung Bintawa Hilir, Kuching.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Muhamad Mirza Dzalmira Miraj, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9 malam dan tiga jentera bomba dan dua ambulans EMRS diatur gerak ke lokasi dari tiga buah balai berbeza.

Menurutnya, ketika jentera bomba tiba di lokasi, dua buah rumah yang berstruktur kayu telah musnah 100 peratus manakala api sedang merebak ke rumah ketiga.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah, kita telah berjaya untuk mengelak kebakaran tersebut daripada merebak ke rumah berhampiran yang jaraknya lebih kurang lima meter hingga 10 meter sahaja dari rumah tersebut," katanya.

Tambah Muhamad Mirza, tindakan pantas 33 anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit.

Mereka malah dapat mengelakkan kemusnahan lebih besar, kerana kebanyakan rumah di sini berkedudukan agak rapat, selain berstruktur kayu.

Keadaan jalan yang sempit, tambahnya, turut memaksa bomba menggunakan kenderaan yang lebih kecil untuk ke lokasi kejadian.

Bagi mangsa, Norwati Raduan, segala persiapan sambutan Aidilfitri turut musnah menjadi abu.

"Tidak dapat ambil (keperluan Aidilfitri). Saya memang ada membuat persiapan sedikit, kerana anak saya ramai. Buat sikit-sikit. Tetapi tidak dapat saya hendak masuk dan ambil, kerana rumah yang terbakar," katanya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, memandangkan ketika kejadian kebanyakan penghuni sedang berada di masjid berhampiran untuk solat terawih.