Dua rakan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencabul, merogol dan menyamun seorang remaja perempuan berusia 19 tahun pada minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Low Swang Kiat, 46, dan S. Kalaiarasan, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, Swang kiat didakwa telah melakukan hubungan seks dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa yang berusia 19 tahun dua bulan.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Sementara itu, Kalaiarasan didakwa telah merogol mangsa sama dan berdepan dengan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 6.30 pagi di sebuah kedai di Taman Kenanga, Lorong Pandan pada 29 Februari lalu.

Dua rakan itu turut didakwa melakukan samun bersenjata menggunakan sebilah parang terhadap remaja itu dan merampas wang tunai bernilai RM1,800, kad tambah nilai, aksesori telefon bimbit jenama Asus serta sebuah beg mengandungi barangan peribadi mangsa.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon tiada sebarang jaminan dibenarkan, namun kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur merayu agar jaminan rendah diberikan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma tidak membenarkan jaminan terhadap Kalaiarasan atas pertuduhan merogol manakala Swang Kiat dibenarkan diikat jamin sebanyak RM20, 000 berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagi kesalahan samun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20, 000 bagi setiap mereka.

Norma kemudian menetapkan 6 April depan sebagai sebutan semula kes.