Dua sahabat menemui ajal pada malam menjelang Aidilfitri apabila motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan beberapa motosikal lain dalam kejadian di Km 8 Jalan Chalok-Telaga Papan di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira 11.20 malam itu menyebabkan Muhammad Zulhelmi Mohmad Zaini,17 dan Mohd Hanafiah Shapi@Shapie, 26 maut di tempat kejadian.

Nahas turut menyaksikan pemandu kereta Mohd Suhaimizan Mohamad, 20 cedera parah manakala dua lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan iaitu Amir Salleh,17 dan Mohd Amirudin Abd Aziz, 26.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Abd Razak Hasan berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dari arah Chalok itu bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.

Pelanggaran menyebabkan kereta itu terpusing ke sebelah kanan dan dirempuh oleh tiga lagi motosikal, menyebabkan kesemua penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan tercampak, katanya kepada Bernama.

Kesemua mangsa termasuk dua yang maut dibawa ke Hospital Setiu, katanya.

-- BERNAMA