Kesediaan rakyat Malaysia menggalas senjata untuk memerangi pengganas komunis selain usaha kerajaan untuk menambat hati dan minda rakyat merupakan dua sebab mengapa negara ini dapat menewaskan pemberontak.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kesediaan rakyat negara ini memerangi pengganas perlu dipuji kerana sanggup menggadai nyawa untuk menentang musuh walaupun terdedah kepada risiko terbunuh, cedera atau kehilangan anggota tubuh.

"Saya tidak suka bertempur dengan seseorang yang mungkin menembak saya. Tetapi pasukan keselamatan mengambil risiko itu dan bertempur dan membunuh, atau mungkin dibunuh. Ia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan, saya lebih suka berada di dalam pejabat yang berhawa dingin sambil menulis.

"Seseorang perlu bertempur dan Malaysia amat beruntung kerana ada rakyatnya yang bersedia untuk bertempur menentang musuh," katanya semasa berucap melancarkan buku bertajuk "Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle Against Terrorism 1960-1990" di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata beliau juga berkongsi mengenai strategi untuk mengalahkan gerila komunis di Malaysia dengan bekas presiden Afrika Selatan mendiang Nelson Mandela.

"Saya bertemu Nelson Mandela selepas beliau dibebaskan dari penjara dan beliau bertanya kepada saya bagaimana Malaysia dapat mengalahkan gerila komunis kerana guru-gurunya di Yugoslavia dan Libya memberitahunya bahawa 'gerila tidak boleh kalah kerana mereka sentiasa dibantu oleh rakyat dan mencapai kejayaan.'

"Selain menggalas senjata untuk bertempur, saya beritahu beliau bahawa kita menewaskan mereka dengan menawan hati dan minda rakyat serta memastikan orang awam memihak kepada kerajaan dan tidak membantu gerila dengan makanan atau wang," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata usaha itu dapat menyakinkan rakyat bahawa gerila komunis itu bukan berjuang untuk kebebasan sebaliknya mahu menerapkan sistem dan ideologi mereka.

"Dengan penjelasan saya itu, saya rasa Mandela, yang belum menjadi presiden, agak terkejut kerana ini bukanlah apa yang dipelajari beliau," katanya.

Mengenai buku mewah itu, Dr Mahathir berkata "ia penting kerana ia menceritakan kisah unik tentang bagaimana Malaysia berjuang dan selamat, serta bagaimana negara ini dapat menyatukan rakyat sepanjang tempoh huru-hara tanpa henti itu."

"Kita perlu laporkan semua ini kerana jika tidak, kita mungkin lupakan sejarah. Saya sentiasa rasa yang kita perlu rekodkan masa lampau kita, yang mungkin tidak nampak penting hari ini tetapi penting pada masa hadapan," kata beliau.

Dr Mahathir berkata buku seperti ini dapat memainkan peranan besar dalam mengingatkan rakyat Malaysia mengenai masa lampau negara ini dan bagaimana menanganinya pada masa kini dan masa hadapan.

Sambil memuji usaha pengarang buku itu, Lt Kol (Bersara) Mohd Azzam Mohd Hanif Ghows, beliau berkata veteran perang itu telah melakukan usaha terhormat dengan menghasilkan buku bergambar setebal 424 muka surat itu bagi mengingatkan rakyat bagaimana perang menentang pengganas dilakukan.

"Hari ini, negara kita kekal stabil dan aman, serta akan terus makmur dan kekal sebagai contoh bagaimana rakyatnya mencintai negara ini dan membebaskannya daripada musuh," kata beliau.